Terkurang atau Terlebih Rakaat Solat

19.7.15
Pernahkah kita menghadapi situasi dimana kita terkurang atau terlebih rakaat tanpa sedar? Kemudian kita hanya menyedari situasi itu setelah selesai solat. Ataupun situasi dimana kita yakin kita telah cukup rakaat, namun setelah selesai sola
t, jemaah disebelah menegu
r yang kita telah terkurang satu rakaat
. Apa yang perlu kita buat ketika itu?

Kebanyakan pengamalan umat Islam di Malaysia menganggap perkara seperti terkurang rukun ataupun penambahan perkara yang tidak perlu tanpa dalam solat akan membatalkan solat berkenaan dan solat perlu diulang kembali. Tanggapan itu tidak tepat malah solat yang terkurang atau terlebih itu tetap sah berdasarkan pengamalan Nabi SAW.

Islam itu amat mudah pengamalannya. Apabila perkara ini terjadi, apa yang perlu kita lakukan ialah mencukupkan apa yang tidak cukup serta disertai dengan sujud sahwi. Ada beberapa perbezaan dalam mengerjakan sujud sahwi dalam perkara terkurang rukun berbanding lebihan perbuatan dalam solat.

Tatacara Sujud Sahwi apabila ada Penambahan dalam Solat.

Pada suatu ketika Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersolat Zuhur lima rakaat,
lalu ditanya: Apakah rakaat solat ini memang telah ditambah?”
Baginda bertanya: “Mengapa demikian?”
Para sahabat menjawab: “Anda telah melakukan solat lima rakaat.” Maka bagindapun sujud dua kali setelah memberi salam itu.
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 1226.

Apabila kita tersedar bahawa dalam solat kita, samada ketika masih bersolat atau sesudah selesai mengerjakannya, ada tertambah sesuatu seperti jumlah rakaat, sujud, duduk antara dua sujud dan lain-lain, maka sujud sahwi hanya dilakukan sesudah salam. Sebagai contohnya sekira seseorang itu ketika bersolat Maghrib dia telah mengerjakan empat rakaat dan hanya sedar ketika tasyahhud akhir, maka dia sempurnakan tasyahhudnya lalu memberi salam. Setelah itu dia perlu lakukan sujud sahwi lalu memberi salam lagi. Sekiranya dia hanya teringat setelah memberi salam, maka dia perlu melakukan sujud sahwi serta merta lalu memberi salam. Sekiranya pada rakaat keempat tersebut baru dia tersedar bahawa solat Maghrib sepatutnya hanya tiga rakaat, maka dia harus duduk ketika itu juga untuk mengerjakan tasyahhud akhir dan kemudiannya memberi salam. Sesudah itu dikerjakan sujudsahwi dan memberi salam sekali lagi. 

Termasuk juga dalam al-Ziyadah atau penambahan gerakan adalah memberi salam sebelum solatnya sempurna. Contohnya seseorang sedang bersolat Asar lalu pada rakaat kedua dia telah melakukan tasyahhud akhir dan memberi salam menunjukkan berakhirnya solatnya itu. Ini dianggap penambahan kerana dia menambahkan salam di rakaat kedua tersebut. Di dalam situasi sebegini sekiranya dia tersedar akan kesilapannya setelah berlalu waktu yang lama, maka dia harus mengulangi solatnya. Namun begitu sekiranya dia tersedar dalam waktu yang singkat seperti dua atau tiga minit setelah mengakhiri solatnya, maka dia harus menyempurnakan baki solatnya yang dua rakaat lagi itu lalu memberi salam. Setelah itu hendaklah dikerjakan sujud sahwi dan memberi salam sekali lagi. Ini adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Hurairah radhiallahu’anh:

Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam solat bersama kami pada salah satu solat di siang hari (iaitu Zuhur atau Asar), ternyata baginda hanya solat dua rakaat sahaja dan terus memberi salam. Baginda lalu pergi ke sebuah kayu yang terbelintang di masjid lalu berteleku di atasnya seolah-olah sedang marah. Tangan kanannya diletakkan di atas tangan kirinya sambil menggenggam jari-jarinya, sedang pipinya diletakkan di atas telapak kirinya bahagian luar. Kemudian ada yang segera keluar dari pintu-pintu masjid sambil mengatakan: “Solat telah diqasarkan (dipendekkan). Di antara orang ramai itu terdapat pula Abu Bakar dan Umar. Keduanya malu untuk bertanyakan akan hal itu. Kebetulan di antara mereka terdapat pula seorang lelaki bernama Dzulyadain, yang bertanya:

“Ya Rasulullah, apakah anda lupa atau solat tadi memang diqasarkan?”
Baginda bersabda: “Saya tidak lupa dan solat tadi tidak pula diqasarkan.”
Maka Rasulullah bertanya kepada para sahabat: “Apakah benar yangdikatakan oleh Dzulyadain?” Para sahabat menjawab: “Benar.”
Maka baginda pun menuju kembali ke tempatnya semula dan menyempurnakan baki rakaatnya, kemudian memberi salam. Sehabis salam itu baginda bertakbir,
sujud sebagaimana sujud biasa atau agak panjang sedikit,
lalu mengangkat kepala dan takbir. Seterusnya baginda takbir lagi lalu sujud seperti biasa atau agak lebih lama, kemudian mengangkat kepalanya kembali.”

Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 482.

Tatacara Sujud Sahwi jika terdapat Pengurangan Dalam Solat

Sekiranya di dalam solat kita terdapat kekurangan secara tidak sengaja di dalam perkara yang rukun ataupun fardhu maka sujud sahwinya dilakukan sebelum salam. Contohnya apabila seseorang itu tertinggal tasyahhud  awal dan terus bangun untuk meneruskan rakaat yang ke tiga, maka dia tidak perlu untuk duduk kembali untuk mengerjakan tasyahhud awal tersebut. Dia hanya perlu meneruskan solatnya dan melakukan sujud sahwi selepas tasyahhudakhir dan kemudiannya barulah memberi salam. Sekiranya dia teringat bahawa dia lupa membaca tasyahhud awal ketika dia belum bangkit untuk berdiri ke rakaat ke tiga secara sempurna, maka bolehlah dia duduk semula untuk mengerjakan tasyahhud awal tersebut. Dalil tentang hal ini adalah sebagaimana hadis dari Abdullah bin Buhainah radhiallahu’anh:

Bahawasanya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam solat Zuhur bersama mereka.
Baginda bangkit pada rakaat kedua dan tidak duduk (maksudnya, tidak melakukan tasyahhud awal), para makmumpun ikut berdiri bersama baginda;
hingga ketika hendak selesai solat, sedang makmum menunggu salamnya,
baginda bertakbir dalam posisi duduk lalu sujud dua kali sebelum salam, kemudian baru salam.”

Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 829

Mughirah bin Syu’bah radhiallahu’anh pula telah berkata:

Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Apabila salah seorang di antaramu berdiri dari rakaat kedua
(dalam keadaan lupa untuk tasyahhud awal – pen) dan belum sempurna berdirinya
maka hendaklah dia duduk kembali (untuk mengerjakan tasyahhud awal tersebut – pen), dan apabila telah sempurna berdirinya maka janganlah dia duduk (teruskan solatnya – pen) dan hendak dia sujud sahwi dua kali.”

Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no. 1208.

Sumber rujukan: http://hafizfirdaus.com/ebook/PersoalanSolat/12.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan